Dengan menggunakan pendekatan ekonomi politik, tulisan esei ini akan mengkaji mengenai teori pergantungan yang mula dibincangkan pada akhir tahun 1950-an oleh Pengarah Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, PBB untuk Amerika Latin, Raul Prebisch. Prebisch dan rakan-rakannya bimbang terhadap pertumbuhan ekonomi di negara-negara maju yang tidak memandu kepada pertumbuhan ekonomi di negara-negara miskin. Dalam kajian mereka mendapati aktiviti ekonomi di negara-negara lebih kaya sering kali membawa kepada masalah-masalah ekonomi di negara-negara miskin. Ini bertentangan dengan dan tidak dapat diramal oleh teori neo-klasikal yang mengandaikan pertumbuhan ekonomi akan memberi manfaat kepada semua walaupun faedah-faedahnya tidak dikongsi secara sama rata.
Penerangan hasil kajian Prebisch mengenai fenomena tersebut sangat mudah iaitu negara-negara miskin mengeksport komoditi ke negara-negara kaya yang kemudian menukar komoditi menjadi barangan siap dan kemudian menjual balik barangan tersebut kepada negara-negara miskin. Nilai tambah yang berlaku semasa proses pengilangan untuk mencipta barangan siap berkenaan selalunya menyebabkan kos yang tinggi. Dengan itu, negara-negara miskin sentiasa tidak memperolehi pendapatan secukupnya daripada pendapatan eksport kerana terpaksa membayar lebih untuk barangan import iaitu barang pengilangan siap.
Penyelesaian yang dikemukakan oleh beliau juga kelihatan dapat dilaksanakan iaitu negara-negara miskin sepatutnya memulakan program-program untuk menggantikan serta mencari pengganti kepada barangan import tersebut supaya mereka tidak perlu membeli barangan kilang siap daripada negara-negara miskin. Negara-negara miskin juga perlu menjual produk-produk utama mereka di dalam pasaran dunia tetapi simpanan tukaran asing tidak digunakan untuk membeli barangan perkilangan dari luar. Bagaimanapun, terdapat tiga isu utama yang membuatkan polisi sebegini sukar untuk dilakukan iaitu:
1. Pasaran domestik negara-negara miskin tidak cukup besar bagi menyokong ekonomi berskala yang digunakan negara-negara kaya bagi mengekalkan harga yang lebih murah.
1. Isu kedua adalah membabitkan aspirasi politik negara-negara miskin sama ada penukaran daripada menjadi pengeluar komodoti kepada barangan perkilangan boleh dilakukan atau tidak.
1. Isu terakhir adalah melibatkan ke tahap mana negara-negara miskin sebenarnya mempunyai kawalan terhadap produk utama mereka khususnya bagi penjualan barangan tersebut ke luar negara.
Pada masa tersebut, teori pergantungan dilihat sebagai cara mudah untuk menjelaskan kemiskinan berterusan di negara-negara miskin. Pendekatan tradisional neo-klasikal tidak pernah melihat isu kemiskinan ini sebaliknya mengatakan negara-negara miskin terlalu lambat untuk mengubah ekonomi kepada amalan-amalan yang lebih kukuh dan sebaik sahaja negara-negara miskin mempelajari teknik-teknik ekonomi moden, maka kemiskinan akan mula terhapus. Bagaimanapun, ahli-ahli teori Marxis melihat kemiskinan berterusan ini sebagai sebahagian kesan daripada eksploitasi kapitalis. Muncullah satu pemikiran baru yang dipanggil pendekatan sistem dunia berhujah bahawa kemiskinan adalah kesan langsung daripada evolusi ekonomi politik antarabangsa kepada divisyen tetap buruh yang mana menguntungkan pihak yang kaya dan menghukum yang miskin. Dengan itu, esei ini cuba mendalami mengenai kerelavanan teori pergantungan dalam konteks hari ini yang dilanda arus globalisasi serta cuba membincangkan mengenai teori ini secara lebih mendalam memandangkan ia adalah satu kajian terhadap yang dimulakan terhadap negara-negara Amerika Latin yang diselubungi isu kemiskinan yang berterusan.
Definisi
Definisi umum mengenai teori pergantungan adalah satu gagasan teori yang dibangunkan oleh pelbagai intelek dari dunia ketiga dan dunia pertama yang mengemukakan cadangan bahawa negara-negara kaya dunia memerlukan kumpulan preferi negara-negara miskin dalam usaha untuk mengekalkan kekayaan dan kekuasaan. Teori ini menetapkan bahawa kemiskinan di negara-negara periferi bukan kerana mereka tidak berintergrasi ke dalam sistem ekonomi dunia tetapi bagaimana mereka diintergrasikan ke dalam sistem tersebut.
Negara-negara miskin ini menyediakan sumber semulajadi, buruh yang murah, menjadi destinasi teknologi dan pasaran kepada negara-negara kaya. Tanpa negara-negara kaya, negara-negara miskin dianggap tidak mampu untuk menikmati peningkatan tahap kehidupan. Negara-negara kaya secara aktif cuba mengekalkan pergantungan negara miskin yang dilakukan menerusi pelbagai sektor seperti ekonomi, kawalan media, politik, sistem perbankan dan kewangan, pendidikan, sukan dan semua aspek pembangunan sumber manusia. Sebarang percubaan oleh negara-negara yang bergantung untuk melepaskan diri daripada pengaruh pergantungan boleh membawa kepada sekatan ekonomi, pencerobohan ketenteraan dan kawalan.
Bagaimanapun, perkara sedemikian begitu jarang berlaku kerana pergantungan diperkuatkan oleh negara-negara kaya melalui penetapan peraturan perdagangan antarabangsa dan sektor kewangan. Menurut Sunkel (1969), pergantungan boleh didefinisikan sebagai satu penjelasan mengenai pembangunan ekonomi negara dari segi pengaruh luar seperti politik, ekonomi dan kebudayaan terhadap polisi-polisi pembangunan kebangsaan. Manakala, Dos Santos (1971) menekankan dari segi dimensi sejarah terhadap hubungan pergantungan seperti petikan di bawah. “Dependacy is…an historical condition which shapes a certain structure of the world economy such that it favors some countries to the detriment of others and limits the development possibilities of the subordinate economics…a situation in which the economy of a certain group of countries is conditioned by the development and expansion of another economy, to which their own is subjected.”
Terdapat tiga ciri-ciri yang mempunyai persamaan mengikut definisi di atas yang dikongsi oleh ahli-ahli teori pergantungan. Pertama adalah pergantungan membentuk sistem antarabangsa yang terdiri daripada dua kumpulan negara yang digambarkan sebagai dominan/bergantung, teras/periferi atau metropolitan/satelit. Negara-negara dominan adalah negara yang mempunyai kemajuan industri di dalam Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, OECD. Manakala negara-negara bergantung adalah Amerika Latin, Asia dan Afrika yang mempunyai pendapatan per kapita yang rendah serta bergantung sepenuhnya kepada eksport satu jenis komoditi untuk pendapatan hasil tukaran mata wang asing.
Keduanya, definisi di atas mempunyai persamaan dari segi andaian bahawa kuasa-kuasa luaran adalah satu-satunya aktiviti ekonomi yang penting di dalam negara-negara yang bergantung. Kuasa-kuasa luaran ini termasuklah syarikat-syarikat multi nasional, MNC, pasaran komoditi antarabangsa, bantuan luar, komunikasi dan kuasa-kuasa lain yang mana boleh dibawa oleh negara-negara maju untuk kepentingan ekonomi mereka di pasaran luar.
Persamaan ketiga adalah definisi pergantungan menunjukkan hubungan antara negara-negara dominan dan bergantung adalah dinamik kerana interaksi antara dua kumpulan negara ini bukan hanya sentiasa diperkuatkan tetapi juga mencetuskan corak yang tidak sama rata. Pergantungan adalah satu proses berterusan dan berakar umbi di dalam kapitalisme antarabangsa yang mempunyai proses persejarahan yang mendalam seperti dinyatakan oleh Bodenheimer (1971). “Latin America is today, and has been since the sixteenth century, part of an international system dominated by the now-developed nations…Latin underdevelopment is the outcome of a particular series of relationships to the international system.”
Seperti dinyatakan di dalam bahagian pendahuluan, teori pergantungan ini pertama kali dikemukakan oleh Prebisch dan diperkemaskan lagi oleh ahli teori Marxis iaitu Andre Gunder Frank dan diperhalusi oleh Immanuel Wallerstein melalui teori sistem dunia. Teori pergantungan menjadi popular pada 1960-an dan 1970-an sebagai kritikan terhadap ahli teori pembangunan popular yang dilihat gagal untuk menjelaskan isu kemiskinan yang semakin menular dan meningkat di sebahagian besar dunia. Sistem pergantungan dikatakan tercipta berikutan revolusi perindustrian dan pengembangan empayar Eropah yang kuat dari segi kuasa dan kekayaan. Sesetengah pengkaji berpendapat sebelum pengembangan empayar ini, eksploitasi hanya bersifat dalaman dengan ekonomi utama tertumpu kepada penguasaan wilayah. Bagaimanapun, dengan pengenalan corak perdagangan sejagat pada abad ke-19 telah membolehkan sistem ini meningkat ke tahap global.
Konsep underdevelopment yang dikemukakan oleh Gunder Frank adalah merujuk kepada satu situasi yang secara fundamental berbeza daripada undevelopment. Undevelopment merujuk kepada keadaan yang mana sumber tidak digunakan. Sebagai contoh, kuasa kolonis Eropah melihat benua Amerika Utara sebagai kawasan yang tidak maju kerana tanahnya tidak digunakan dalam skala yang konsisten dengan potensinya. Manakala underdevelopment pula merujuk kepada situasi yang mana sumber-sumber secara aktif digunakan tetapi digunakan melalui cara yang hanya menguntungkan negara-negara dominan dan bukannya negara-negara miskin yang merupakan pemilik kepada sumber-sumber tersebut. Negara-negara miskin bukanlah ketinggalan dibandingkan negara-negara kaya dan mereka miskin bukan kerana mengabaikan aspek transformasi saintifik tetapi kemiskinan berpunca daripada dipaksa memasuki sistem ekonomi terutama Eropah hanya sebagai pengeluar atau pembekal bahan-bahan mentah serta memainkan peranan sebagai pembekal tenaga buruh yang murah.
Memburukkan keadaan, negara-negara miskin telah dinafikan peluang untuk memasarkan sumber-sumber mereka kerana menimbulkan persaingan dengan negara-negara dominan. Secara ringkasnya, teori pergantungan cuba untuk menjelaskan situasi negara-negara yang underdevelope di dunia dengan menganalisa corak-corak interaksi di kalangan negara-negara dan dengan menghujah bahawa ketidaksamarataan di kalangan negara-negara adalah bahagian semulajadi daripada interaksi tersebut. Dan Gunder Frank cuba menerokai isu kemiskinan di negara-negara kurang membangun dengan bertunjangkan falsafah keadilan dari segi sosial, ekonomi dan politik serta hak asasi manusia atau pun posisi etika di dalam amalan ketiga-tiga aspek tersebut. Tema utama di dalam teori ini juga merangkumi ekonomi dunia dan kebergantungannya yang menjadi semakin kuat. Teori ini memenuhi ruang keperluan kepada satu teori dan analisis terhadap struktur serta pembangunan sistem kapitalis sebagai satu unit yang berintergrasi dalam skala sedunia.
Pemahaman kepada sistem ini penting dalam usaha merangka satu dasar dan pelaksanaan polisi yang praktikal sebagai tindakbalasnya. Bagi kes Amerika Latin, menurut Gunder Frank adalah kegagalan aspek politiknya untuk mencapai satu perubahan ekonomi dan sosial terutama dengan kejatuhan kerajaan Allende di Chile serta kegagalan Maoisme di China yang menjadikan usaha melarikan diri daripada sistem ekonomi dunia sesuatu yang mustahil walaupun teori ini dan teori sistem dunia dapat digunakan untuk menjana dasar politik, ekonomi dan sosial yang praktikal serta strategi dan taktik. Perbincangan Teori Pergantungan Mengikut Gunder Frank Dan Wallerstein Brewer (1980) menegaskan, underdevelopment adalah satu produk kapitalisme dengan mengaitkan kapitalisme dengan sistem dunia yang saling berangkaian dan berlaku pertukaran. Ia diperkuatkan pula melalui monopoli dan eksploitasi untuk berhujah bahawa “development of underdevelopment” adalah proses yang sedang berlaku di Amerika Latin dan masih tidak berubah sejak penaklukan Sepanyol dan Portugis iaitu bermula pada abad ke-16 lagi. Gunder Frank berhujah bahawa mana-mana bahagian dunia yang mana telah terdedah kepada sebarang cara fundamental oleh kapitalisme dianggap sebagai kapitalis. Beliau telah menunjukkan ekonomi kapitalis dunia telah menembusi Amerika Latin dengan begitu mendalam sehingga tiada bahagian benua tersebut yang tidak terjejas. Beliau memberikan contoh sektor pertanian sara diri seperti di Brazil turut bertukar menjadi industri untuk eksport. Aspek penghujahan ini ditujukan terhadap teori dualisme yang diaplikasikan terhadap Amerika Latin. Teori tersebut cuba mengekalkan idea bahawa kapitalisme adalah satu kuasa progresif, satu kuasa untuk pembangunan dan ekonomi negara yang mengalami underdevelop dibahagikan kepada dua sektor yang bebas.
Salah satunya adalah kapitalis yang moden dan progresif manakala satu sektor adalah sangat tua, tidak disentuh oleh kapitalisme dan bersifat feudal. Sektor tradisional tersebut dicirikan dengan sara diri domestik dan bebas daripada pasaran dunia. Pembangunan di dalam analisis ini, memerlukan pemindahan sumber daripada sektor feudal ke kapitalis dan transformasi umum atau pemodenan pertanian feudal serta di dalam struktur politik dan sosial. Model dualis ini telah dikemukakan oleh aliran Marxis dan juga bukan Marxis tetapi sasaran utama Gunder Frank adalah sosiologis borjuis dan saintis politik berbanding ahli ekonomi. Frank menunjukkan dengan kekayaan fakta dan sejarah, tiada bahagian di Amerika Latin yang tidak disentuh oleh hubungan pasaran. Persyarikan ke dalam sistem dunia kapitalis membawa kepada pembangunan di dalam beberapa sektor dan “development of underdevelopment” di tempat lain. “Development of underdevelopment” berlaku di dalam sistem dunia kapitalis yang dicirikan dengan struktur metropolis-satelit.
Metropolis mengeksploitasi negara satelit membolehkan keuntungan hanya dinikmati oleh metropolis pula terus miskin dan disingkirkan daripada dana pelaburan supaya pertumbuhannya menjadi begitu perlahan. Lebih penting, potensi satelit dikurangkan sehingga hanya menjadi negara yang bergantung yang mana telah membentuk satu kelas memerintah tempatan yang khusus dan mempunyai kepentingan untuk terus menjayakan agenda underdevelopment iaitu “lumpenbourgeoisie” yang menurut sahaja polisi-polisi underdevelopment atau dilabel oleh Frank sebagai “lumpendevelopment”. Sumbangan Frank di dalam teori ini adalah satu rantaian hubungan metropolis-satelit yang digambarkan seperti berikut yang terkandung di dalam bukunya “Capitalism and Underdevelopment in Latin America”: “The monopoly capitalist structure and the surplus expropriation/appropriation contradiction run through the entire Chilean economy, past and present. Indeed, it is this exploitative relation which in chain like fashion extends the capitalist link between the capitalist world and national metropolises to the regional centres (part of whose surplus they appropriate) and from these to local centres and so on to large landholders or merchants who expropriate surplus from small peasants ot tenants, and sometimes even from these latter to landless labourers exploited by them in turn. At each step along the way the relatively few capitalists above exercise monopoly power over the many below, expropriating some or all of their economic surplus, and to the extent that they are not expropriated in turn by the still fewer above, appropriating it for their own use. Thus at each point, the international, national and local capitalist system generates economic development for the few and underdevelopment for the many.” Menurut Frank rantaian hubungan metropolis-satelit ini telah wujud sejak abad ke-16 dan perubahan hanya dari segi bentuk eksploitasi dan penguasaan terhadap negara satelit. Ini dinamakan sebagai satu prinsip kesinambungan di dalam perubahan atau “continuity in change”. Selain itu, Frank turut menyentuh mengenai kesan-kesan politik iaitu kelas memerintah di negara-negara yang mengalami underdevelop menempatkan diri mereka di dalam rantaian hubungan itu yang berlaku di luar bandar sehingga ke negara metropolis dan mereka mempunyai kepentingan untuk mengekalkan kedudukan tersebut. “This colonial and class structure establishes very well defined class interests for the dominant sector of the bourgeoisie. Using government cabinets and other instruments of the states, the bourgeoisie produces a policy of underdevelopment in the economic, social and political life of the “nation” and the people of Latin America.”
Penghujahan ini merupakan bahagian terpenting dan merupakan analisis sejarah bagi Amerika Latin terutama tempoh selepas kemerdekaan pada abad ke-19. Ketika itu berlaku konflik antara pihak Eropah yang memulakan perdagangan bebas dan pihak Amerika yang memperkenalkan perlindungan kepada industri tempatan. Pihak Eropah yang diketuai oleh saudagar-saudagar yang mengendalikan perdagangan import dan eksport serta kepentingan eksport pertanian adalah merupakan pihak yang kuat dan mendominasi ekonomi serta memperolehi keuntungan daripada sistem ini. Seperti dinyatakan oleh Frank: “Free trade made imported manufactured goods available cheaply to the export agriculturalists, and the weakness of the local currency increased the value of exported products in terms of the depreciated currency, transferring income to those who sold goods for export. Local manufacturing industry was unable to compete with imports without protection, so perpetuating the imbalance.”
Dasar negara dilengkapkan untuk memenuhi sektor import dan eksport seperti cukai, pengagihan tanah, dasar imigrasi, pelabuhan, jalan keretapi dan sebagainya. Ringkasnya, “lumpenbourgeoisie” berorientasi Eropah ini mencipta “lumpenstate” yang menyebabkan kemerdekaan yang sebenar tidak dapat dicapai tetapi menjadi instrumen berkesan dalam meneruskan underdevelopment. Oleh itu, polisi negara adalah elemen paling kritikal dan penting di dalam pembangunan ekonomi.
Dalam membincangkan teori pergantungan, penting sekali teori sistem dunia oleh Wallerstein disentuh kerana pendapat bahawa mana-mana sistem sosial perlu dilihat secara menyeluruh dan negara bangsa di dalam dunia moden juga tidak boleh dikaji secara tersendiri kerana ia bukan satu sistem tertutup. Wallerstein menyatakan sistem dunia moden adalah kapitalis kerana ia adalah sistem ekonomi. “Capitalism and a world economy (that is, a single division of labour but multiple polities) are obverse sides of the same coin. One does not cause the other. We are merely defining the same indivisible phenomenon by the different characterisitics.” Mengikut Wallerstein, sistem dunia kapitalis dibahagikan kepada tiga jenis negara iaitu negara core atau teras, semi-periferi dan negara periferi. Perbezaan bagi ketiga-tiga jenis negara ini adalah jentera negara di dalam bidang-bidang yang berlainan dan ini sebagi timbal balas, membawa kepada pemindahan modal dari periferi ke negara teras yang kemudian menguatkan lagi negara tersebut. Kuasa negara adalah mekanisme utama memandangkan aktor-aktor di dalam pasaran cuba untuk mengelakkan operasi normal pasaran yang tidak memberi keuntungan maksima jika berpaling kepada negara negara untuk mengubah syarat-syarat perdagangan. Pada asalnya, pembahagian core-periphery diterangkan oleh faktor teknologi. Eropah Barat mengkhusus di dalam pengeluaran dan penternakan haiwan yang mana aktiviti-aktiviti ini memerlukan kemahiran yang tinggi dan dilakukan oleh buruh-buruh yang dibayar gaji agak lumayan. Struktur sosial adalah asas kepada negara kuat secara relatif dan membolehkan mereka menguasai pasaran untuk kelebihan mereka. Manakala, Hispanik Amerika hanya menjalankan aktiviti perlombongan dan Baltik di timur Eropah mengkhusus di dalam aktiviti yang memerlukan kemahiran rendah, maka kapitalis Eropah tersebut akan memilih melalui campur tangan negara, buruh paksaan dan mewujudkan kepentingan berbeza antara pengeluar dan kepentingan eksport produk utama. Hasilnya, negara menjadi lemah dan sedia untuk dikuasai oleh negara teras. Mereka kemudian menjadi periferi.Apabila divisyen negara tersebut wujud, core-periphery dikekalkan dengan kebolehan negara-negara teras untuk memanipulasikan perjalanan sistem secara menyeluruh bagi menyesuaikan dengan keperluan mereka iaitu negara teras. Mereka dengan sengaja melemahkan negara periferi atau menghapuskannya dengan penaklukan serta mengubah cara pasaran berfungsi melalui sekatan, monopoli, melindungi industri mereka sendiri dan menghalang periferi mengadakan halangan tertentu. Semi-periferi pula disifatkan sebagai negara aristokrasi buruh dan menjadi pusat kepada perubahan kerana negara semi-periferi ini boleh berubah menjadi negara teras dan negara teras yang semakin lemah akan berubah menjadi semi-periferi. Wallerstein menganggap buruh sebagai komoditi. Idea Wallerstein ini mencadangkan supaya sistem dunia dari semua segi perlu dilihat secara menyeluruh dan pelaksanaan sistem dunia ini menghasilkan cara-cara kawalan terhadap buruh yang penting kepada sistem pengeluaran negara teras. Apabila kedua-dua aliran teori pergantungan ini menyentuh mengenai sistem dunia dan dikaitkan pula dengan kapitalisme, maka timbul satu persoalan umum adakah ianya masih lagi relevan memandangkan evolusi yang dialami oleh kapitalisme pada era ini dengan tersebarnya globalisasi ke seluruh pelusuk dunia dan pergerakan modal serta peranan syarikat-syarikat multi nasional, MNC. Dengan perkembangan demokrasi juga telah meningkatkan pengaruh liberalisme dan neo-liberalisme yang membenarkan kebebasan individu mencari keuntungan maksimum, ideologi yang membenarkan pencarian harta kekayaan melalui apa cara sekali pun dan andaian bahawa apabila pengeluaran meningkat maka permintaan untuk peluang pekerjaan turut meningkat. Persoalan kekurangan modal di negara-negara miskin untuk memulakan program yang dapat membebaskan diri daripada pergantungan juga dijadikan hujah bagi membalas teori pergantungan ini. Negara miskin juga terlalu bergantung kepada satu atau dua produk utama, kekurangan tenaga mahir dan kelemahan dari segi kewangan mencukupi, komunikasi dan infratruktur pengangkutan misalnya. Kekurangan negara-negara miskin kemudian diisi oleh kelengkapan teknologi dan peralatan melalui pelaburan negara-negara kaya. Dengan andaian-andaian tersebut, esei ini akan membuat penilaian sama ada teori pergantungan masih relevan atau pun tidak dengan evolusi yang dilakukan oleh kapitalisme. Jika teori pergantungan oleh Gunder Frank menekankan kepada penggunaan sumber yang aktif tetapi hanya memberi keuntungan kepada negara kaya dan bukan negara pemilik sumber tersebut yang terdiri daripada negara miskin, pada era globalisasi dan sistem perdagangan dunia yang telah berubah, maka peranan modal yang dipandu oleh MNC telah mengubah senario ini. Ia bermaksud, hubungan antara negara kaya dan miskin bukan lagi berasaskan penyediaan sumber seperti komoditi melalui eksport dan import barangan siap oleh negara miskin tetapi telah mengalami perubahan dengan adanya peranan modal atau disebut Foreign Direct Investment, FDI. Melalui FDI, negara yang menerima pelaburan asing menyediakan tenaga buruh yang murah, sumber dan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan. Seperti yang dijelaskan Eichengreen (2003) menyatakan bahawa pergerakan modal sebagai penjana pembangunan dengan menyalurkan sumber, teknologi, pengetahuan berorganisasi dan pemangkin kepada perubahan institusi. Tugas polisi atau dasar pula untuk menggalakkan pengaliran modal dari negara pemodal yang kaya ke dalam negara-negara yang miskin ekonominya. Hasil daripada FDI yang membawa bersama teknologi dan kepakaran, sebahagian negara-negara miskin, kurang membangun dan negara-negara dunia ketiga kini telah banyak berubah menjadi apa yang dinamakan negara sedang membangun dan negara industri baru. Jika ini diambilkira, faktor FDI atau pelaburan modal luar sedikit sebanyak sebenarnya telah membantu negara-negara seperti di rantau Asia termasuklah Malaysia, Taiwan, Indonesia dan lain-lainnya untuk muncul sebagai salah satu kuasa ekonomi. Perkembangan globalisasi yang mendorong dunia tanpa sempadan bagi pengaliran modal, buruh dan perdagangan dunia mungkin memerlukan pengubahsuaian semula teori pergantungan oleh Gunder Frank. Bagaimanapun, aspek pelebaran kuasa kapitalisme juga tidak dinafikan terus kukuh di dalam sistem dunia berikutan perkembangan-perkembangan baru ini kerana modal, FDI dan teknologi masih berasal dari negara-negara kapitalis kaya. Hubungan terkini antara negara-negara di dalam sistem baru dunia ini mungkin dijelaskan dengan lebih tepat oleh teori sistem dunia yang dikemukakan oleh Wallerstein. Ini kerana dunia yang sedang membangun dan negara-negara miskin memerlukan kewujudan negara teras atau core untuk mendapatkan bantuan bagi kemajuan ekonomi mereka. Negara-negara teras secara konsisten menjadi penjana FDI utama dunia dan mampu mengekalkan corak penguasaan terhadap negara-negara yang memerlukan bantuan mereka dalam membangunkan ekonomi sejagat. Oleh itu, proses untuk membebaskan diri oleh negara-negara kurang membangun ini dilihat begitu mustahil dilakukan lebih-lebih lagi dengan penubuhan blok-blok perdagangan serantau yang ingin membina satu bentuk perlindungan kepada industri masing-masing. Percubaan untuk memasuki rantau kerjasama perdagangan tersebut oleh sebuah negara dari rantau lain begitu sukar dan perlu mematuhi pelbagai syarat yang akan melonggarkan peranan kawalan negara terhadap pasaran, misalnya penghapusan pelbagai bentuk cukai dan tarif. Contoh lain daripada isu ini adalah kemasukan China ke dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia, WTO yang mana China telah dipaksa mematuhi syarat-syarat seperti meningkatkan tahap hak asasi manusia sebelum diterima masuk untuk memperolehi kelebihan dalam perdagangan dunia. Rumusan Daripada perbincangan mengenai teori ini dari sudut ekonomi politik, dapat dilihat bagaimana evolusi sistem dunia kapitalisme itu sendiri yang sentiasa diperkemaskan untuk membolehkan pengukuhan dunia negara-negara maju dari segi kekayaan di dalam sistem antarabangsa dan seterusnya mengekalkan penguasaan terhadap negara-negara yang kurang maju. Negara-negara yang cuba menghalang atau mengelak daripada perjalanan sistem dunia ini seperti globalisasi hanya mengakibatkan kesan lebih buruk seperti terus ketinggalan daripada arus kemajuan ekonomi. Bagi negara, tindakan tersebut adalah sesuatu yang merugikan dan menjadikan pergantungan adalah proses yang berterusan.
read more...